Saturday, 21 February 2026

Panglima Angkatan Tentera Santuni Veteran Uzur & Isteri Cekal

ALOR SETAR, 21 Feb – Di sebalik dinding sempit Blok E311, Rumah Pangsa Seberang Terus, tersimpan sebuah kisah perjuangan yang menyentuh hati. Hari ini, suasana pilu menyelubungi kediaman tersebut apabila Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Haji Malek Razak bin Sulaiman, hadir dalam misi Program Ziarah Kasih.

Kehadiran Jeneral Datuk Haji Malek bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi satu pengiktirafan buat Laskar Kelas 1 (LK1) KMR Abdul Latif bin Ali. Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat sewaktu zaman insurgensi ini kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak tahun 2025.

Meskipun dalam keadaan uzur, jasa Latif tidak dilupakan. Dalam suasana hiba, PAT menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai penghormatan tertinggi atas pengorbanannya kepada negara. Di samping itu juga sumbangan Tunai & Kit Kebajikan untuk meringankan beban harian keluarga.

Isteri OKU Jadi Tulang Belakang Keluarga

Kisah Latif menjadi lebih menyayat hati apabila melihat ketabahan isterinya, Nurazlina. Walaupun dirinya sendiri berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Nurazlina tidak mengalah. Beliau kini menjadi satu-satunya punca rezeki keluarga dengan berniaga minuman di sebuah kedai makan.

Beban yang dipikul Nurazlina amat berat untuk menguruskan Latif yang terlantar dan tidak berpencen (kerana tamat perkhidmatan awal selepas 13 tahun berbakti).

Membesarkan anak OKU yang mengalami masalah mental. Turut bertanggungjawab memantau adik iparnya yang juga berstatus OKU.

"Selama sejam berada di sini, kami cuba menyelami denyut nadi keluarga ini. Kami mahu mereka tahu bahawa ATM tidak pernah melupakan wira-wira kami," ujar  PAT semasa sesi ziarah tersebut.

Bantuan Sara Hidup

Memandangkan Latif tidak mempunyai pencen bulanan, pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Zon Utara telah memberi Bantuan Sara Hidup iaitu  RM500 sebulan telah disalurkan. JHEV komited untuk menguruskan bantuan tambahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan hidup keluarga ini.

Program Ziarah Kasih ini membuktikan bahawa semangat "Sentiasa Bersama" dalam warga tentera tetap utuh, biarpun seseorang anggota itu telah lama meninggalkan seragam hijau atau putih mereka






No comments:

Post a Comment