Friday, 3 May 2024

VETERAN DIMINTA FAHAMI KONSEP BANTUAN SARA HIDUP


Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Kedah kali Ke-16 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Impian Unggul Kampung Bukit Belah, Tikam Batu Sungai Petani pada 1 Mei lalu.


Mesyuarat Agung Tahunan kali ini telah dirasmikan oleh Mej Mohd Izmer bin Ghazali TUDM, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Cawangan Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang 


Dalam ucapan perasmian, beliau menyeru dan mengajak supaya semua veteran dan juga Persatuan-persatuan veteran ATM agar dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah serta kerjasama dengan pihak JHEV agar usaha dalam membantu meningkatkan tahap sosioekonomi dan penyampaian bantuan kebajikan kepada veteran ATM dapat dilaksanakan dengan efisyen dan menyeluruh.


Tanpa sokongan daripada persatuan, kemampuan pihak JHEV untuk mencaknai kebajikan veteran keseluruhannya agak terbatas dalam aspek sumber manusia. Nisbah keanggotaan JHEV dengan bilangan veteran di zon utara jauh berbeza iaitu kira-kira 9 staf orang berbanding 30,000 orang veteran tidak termasuk ribuan lagi veteran yang masih belum berdaftar dengan JHEV.


Justeru, Persatuan-persatuan Veteran ATM adalah entiti yang sangat penting sebagai mata dan telinga bagi JHEV dan sangat-sangat menghargai jasa dan keupayaan mereka yang telah memainkan peranan yang sangat bermakna dalam menyantuni veteran-veteran di bawah persatuan masing-masing. 


Beliau turut memberi penjelasan berkenaan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diberikan kepada veteran yang dikategorikan sebagai golongan fakir miskin yang mana ianya tertakluk kepada pendapatan isi rumah dibawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) RM 1,198.00 atau PGK perkapita RM 322.00 bagi setiap isi rumah yang menjadi tanggungan. Sekiranya menepati syarat PGK, barulah seseorang veteran itu dikira layak untuk dipertimbangkan untuk menerima BSH, bukan hanya melihat kepada faktor umur 60 tahun keatas dan tidak berpencen semata-mata seperti mana yang difahami oleh segelintir veteran.


Tambah beliau lagi, pada dasarnya tugas JHEV adalah sangat murni kerana berfungsi untuk membantu dan menjaga kebajikan para veteran khususnya.  Kekalkanlah tugas dan niat yang baik ini pada jalan yang murni agar tidak mencampur adukkan perkara-perkara yang tidak baik dan tidak bermoral.  Kesejahteraan veteran ATM harus diutamakan mendahului apa jua kepentingan dan kehendak peribadi. 


Terdahulu daripada itu dalam majlis yang sama Tuan Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin selaku Yang Di-Pertua PVTLDM Negeri Kedah menyeru semua ahli supaya sentiasa memberi komitmen dan kerjasama dalam apa jua program yang dianjurkan oleh persatuan.  


Dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baharu dengan sebulat suara sekali lagi Tuan Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin terpilih sebagai Yang Di-Pertua bagi menerajui PVTLDM Negeri Kedah untuk sesi seterusnya.  Turut dikekalkan ialah barisan AJK  sesi yang lepas yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan PVTLDM Cawangan Negeri Kedah. 


Foto sekitar Mesyuarat Agung PVTLDM Cawangan Negeri Kedah kali ke-16/2024.