Julai 2024.
Alhamdulilah, pertama sekali saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas segala limpah kurniaNya dan atas kehendakNya jua saya diamanahkan untuk menerajui Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) bagi sesi 2024 – 2027.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) PVTLDM sesi 2021 – 2024 yang diketuai oleh Mantan Presiden Laksamana Pertama Hj Mohamad Imran bin Hj Abd Hamid (Bersara). Sesungguhnya jasa dan bakti tuan-tuan semua hanya Allah yang dapat membalasnya.
Sasaran bagi 3 tahun kehadapan ini, fokus utama adalah kepada 3K iaitu Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan selaras dengan Fasal 2 Akta Veteran 2012:
1. KEBAJIKAN
Pusat perlu menjaga kebajikan semua cawangan PVTLDM agar semua ahli dapat disantuni sewajarnya. Justeru, saya beriltizam untuk memastikan agar semua cawangan dapat mempunyai dana yang kukuh melalui program-program yang akan dilaksanakan secara bersama.
Segala inisiatif Kebajikan yang dirancang perlu berdasarkan data dan maklumat yang tepat, maka setiap cawangan perlu mengenalpasti dan memajukan data yang tepat terutamanya bagi Veteran TLDM yang terdiri daripada golongan asnaf mahupun yang mempunyai masalah kesihatan.
Fokus juga akan diberikan kepada Veteran wanita termasuk pasangan veteran dan balu veteran agar kebajikan mereka tidak terpinggir dengan satu AJK Khas Wanita telah dilantik diperingkat JKKT bagi tujuan tersebut.
2. KERJAYA
Jumlah Veteran TLDM terus dan akan bertambah setiap tahun yang menjadikan jumlah veteran yang berumur diantara 30 ke 60 tahun merupakan kumpulan yang besar.
Mereka ini adalah masih produktif dan memerlukan pekerjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Justeru, PVTLDM boleh memainkan peranan dengan membuka ruang kolaborasi dengan agensi tertentu untuk membolehkan kumpulan sasar ini mempunyai tawaran pekerjaan mahupun latihan kemahiran yang lebih menarik.
Sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan “raise the floor, raise the ceiling” melalui industri baru. Maka diharapkan PVTDLM mampu menjadi platform di dalam menyediakan sumber tenaga kerja daripada Veteran TLDM yang lebih berdaya saing.
3. KEUSAHAWANAN
Keusahawanan ataupun perniagaan semakin menjadi pilihan yang diminati oleh Veteran TLDM, tidak kira apa saiz perniagaannya. PVTLDM boleh memainkan peranan lebih proaktif dengan kolaborasi bersama semua Kementerian, Agensi mahupun pihak Korporat yang mesra kepada Veteran Tentera Laut.
Usaha ini akan membuka ruang kepada Usahawan Veteran TLDM yang memerlukan modal permulaan, modal tambahan mahupun geran-geran yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya. PVTLDM juga akan memulakan usaha bagi membolehkan lebih ramai usahawan Veteran TLDM terlibat di dalam ekspo-ekspo usahawan sama ada yang akan dianjurkan sendiri mahupun melalui kolaborasi bersama penganjur aktiviti yang berkenaan.
Semoga lebih ramai Usahawan Veteran TLDM yang akan dapat dibantu dan berjaya agar mereka dapat menjadi contoh serta turut dapat membuka ruang dan peluang kerjaya kepada Veteran TLDM yang lainnya.
Diharapkan halatuju ini dapat difahami bukan sahaja oleh semua ahli PVTLDM tetapi juga semua pihak berkepentingan agar lebih banyak ruang dan peluang kolaborasi dapat dimanfaatkan demi kemaslahatan ahli-ahli.
Yang pasti, kesemua hasrat ini akan dapat dicapai dengan perancangan yang rapi dan sokongan semua pihak terutamanya daripada semua ahli. Justeru, saya menyeru agar kita kembali bersatu kerana persatuan ini adalah milik kita bersama dan saya tidak akan mampu melaksanakan perubahan yang digarapkan ini secara berseorangan. Marilah kita sama-sama “TERUS BERJUANG” dan bergerak sebagai satu pasukan di dalam mengangkat nama Veteran TLDM dan menjaga maruah TLDM dengan sepenuh jiwa dan raga.
KDR Khairil Hariss Khairuddin TLDM (Bersara)
Presiden
Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia
No comments:
Post a Comment