Friday, 29 May 2020

PVTLDM KEDAH KUNJUNGI FRONTLINER COVID19



Alor Setar  29 Mei- Penglibatan Persatuan Veteran Tentera Laut (PVTLDM) di dalam memberi khidmat bakti tidak hanya terhad kepada para veteran TLDM yang berada di bawah naungannya semata-mata.

Bersesuaian dengan moto PVTLDM 'Terus Berjuang', semangat, toleransi dan perihatin kepada persekitaran sentiasa diterapkan bagi melestarikan gerak kerja persatuan.

Ini dibuktikan oleh PVTLDM Cawangan Kedah yang telah turun padang mengunjungi petugas-petugas Barisan Hadapan Covid19 di Plaza Tol Alor Setar Utara dan Alor Pongsu.

Menurut TYDP PVTLDM Kedah, Tuan Haji Zulkifli bin Hj Muhyiddin, kunjungan ke Pos di mana terdapat anggota ATM bertugas di lapangan adalah sebagai simbolik atau sokongan berterusan dari rakan-rakan veteran kepada rakan-rakan yang masih berkhidmat dengan harapan suatu hari nanti mereka-mereka ini akan mewarisi  gerak kerja persatuan-persatuan veteran bila mereka bersara nanti.

"Kita juga sangat berterima kasih kerana mereka ini telah berkorban kudrat serta nyawa untuk melihat kita semua selamat serta sihat di sepanjang tempoh PKP  ini. Jom kita sama-sama membantu atau menyantuni mereka sebagai tanda kebersamaan dan menghargai usaha dan pengorbanan mereka untuk kesejahteraan bersama". Ujar beliau.



Wednesday, 20 May 2020

Segalanya hilang sekelip mata….

Haji Zulkifli menyerahkan sumbangan bagi meringankan beban Mohd Khairul

“Api terlalu marak… saya sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Saya terjaga setelah dikejutkan oleh isteri saya mengatakan rumah mereka terbakar. Apa yang saya ingat, saya sempat menyelamatkan anak ini dan saya sendiri terbakar hampir seluruh badan….” Cerita Mohd Khairul Ismail kepada rombongan Ajk PVTLDM Cawangan Kedah ketika mengunjungi rumah beliau di Kampung Bohor Karang Jerlun Kedah .
Peristiwa itu berlaku pada 24 mac 2020 di mana rumah kediamannya di Sungai Relong Taiping Perak hangus dijilat api. Tiada apa yang dapat diselamatkan.
“Isteri saya sedang mengandung 5 bulan anak ke-4 telah pergi buat selama-lamanya bersama 2 orang lagi anak saya yang berumur 2 dan 4 tahun.” ujarnya sayu.
“Isteri saya yang mengejutkan saya tetapi dia dan anak-anak terkepung dalam api yang sedang marak”….
“Saya masih trauma dan keliru, tak tahu apa nak buat. terima kasih kepada pihak persatuan telah banyak membantu saya.”
“Sehubungan dengan itu, pihak PVTLDM telah mengambil inisiatif, di samping menyumbang beberapa keperluan semasa, kami juga akan berurusan dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) bagi menyelesaikan masalah beliau sehingga beliau boleh berdikari untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain”. Jelas Tuan Haji Zulkifli Muhyiddin selaku TYDP PVTLDM yang turut hadir sama dalam Program Ihya Ramadhan 2020 bersama 8 orang AJK PVTLDM Kedah.

PVTLDM KEDAH SANTUNI AHLI MENJELANG AIDILFITRI


Alor Setar- Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Kedah telah menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan dapur dan wang tunai kepada ahli veteran TLDM dalam usaha meringankan beban kepada veteran-veteran yang bermasalah menghadapi persiapan menjelang hari raya tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua (TYDP) PVTLDM Cawangan Kedah, Tuan Haji Zulkifli bin Muhyuddin berkata, aktiviti ini dijalankan setiap tahun sebagai salah satu program kebajikan persatuan. “Pada tahun ini kami turut memberi sumbangan kepada veteran yang mengalami sakit kronik atau uzur.  Bantuan juga diberikan kepada ahli yang mengalami kerosakan rumah akibat dilanda angin ribut baru-baru ini.”

Pada 19 dan 20 Mei 2020 yang lalu, Tuan Haji Zulkifli bersama lapan orang ahli jawatan kuasanya yang dibahagikan kepada tiga kumpulan turun padang menyampaikan sumbangan terus ke penempatan 25 orang penerima terpilih  yang berada di pelbagai daerah di negeri Kedah.

Turut menerima sumbangan yang berupa wang tunai ialah bekas anggota kepakaran Peperangan Aras Permukaan (PAP),  Mohd Khairul Ismail yang tinggal di rumah bapanya di Bohor Karang Jerlun Kedah yang cedera akibat bencana kebakaran rumahnya di Sungai Relong, Taiping Perak pada 24 Mac 2020 yang lalu.  Dalam kejadian tersebut, isteri beliau yang sedang mengandung 5 bulan beserta 2 orang anak (2 dan 4 tahun) telah terkorban. Hanya seorang anak lelakinya yang berumur 6 tahun dapat diselamatkan.  Manakala beliau sendiri melecur di sebahagian badannya.

Pihak PVTLDM Kedah sebelum ini telah pun memberi bantuan awal kewangan khas kepada beliau.  Selain daripada itu kutipan derma kilat dan sumbangan pakaian terpakai juga telah diuruskan oleh pihak PVTLDM pusat dan negeri bagi membantu meringankan beban Mohd Khairul yang hanya tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian tersebut.

Tambah Haji Zulkifli lagi,  PVTLDM Kedah sedang giat menjalankan kempen menambah keahlian persatuan.  Buat masa ini daripada anggaran 2,900 veteran seluruh negeri Kedah, hanya sekitar 15 peratus sahaja dari kalangan mereka yang berdaftar.  Bantuan kebajikan ini hanya dikhususkan kepada veteran yang berdaftar sebagai ahli sahaja. Justeru beliau menyeru agar lebih ramai lagi yang tampil mendaftar sebagai ahli supaya hal kebajikan mereka dapat diberi perhatian sewajarnya di samping mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim sesama veteran yang sebelum ini telah banyak berkorban demi keselamatan dan menyumbang kepada pembangunan negara.