Wednesday, 10 June 2020

JENIS BANTUAN KEBAJIKAN UNTUK VETERAN ATM

Sumber: Jhev

Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan JHEV diwujudkan bertujuan meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM serta keluarga berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Skim bantuan ini hanyalah bersifat sementara sahaja.

*JENIS-JENIS SKIM BANTUAN*

1. *Skim Bantuan Sara Hidup*
Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan bulanan bagi meringankan beban tanggungan sara hidup Veteran ATM dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya dan menghidap penyakit kronik berdasarkan kelayakan mengikut kiraan PGK yang ditetapkan. Kadar bantuan adalah RM300.00 sebulan.

2. *Skim Bantuan Persekolahan dan Kolej Vokasional Kebangsaan*
Skim ini adalah bertujuan bagi membiayai anak-anak Veteran ATM yang kurang mampu untuk meneruskan pelajaran mereka di peringkat rendah dan menengah berasaskan kelayakan mengikut kiraan PGK yang ditetapkan.

Kadar bantuan ialah RM 500.00 setahun bagi sekolah rendah dan RM 700.00 setahun bagi sekolah menengah dan kolej vokasional kebangsaan. Permohonan bantuan ini dibuka sepanjang tahun.

3. *Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam (UA)/ Politeknik*
Skim ini bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan ketika pendaftaran kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik bagi anak-anak Veteran ATM sebagai memberi galakan dan motivasi untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Permohonan adalah DIHADKAN kepada Universiti Awam (UA) dan Politeknik di bawah kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kadar bantuan secara pembayaran sekaligus adalah RM1,000.00 untuk pengajian peringkat Diploma dan RM1,500.00 untuk pengajian peringkat Ijazah Pertama.

Setiap anak hanya layak menerima satu bantuan sahaja sama ada di peringkat Diploma atau Ijazah Pertama.
Permohonan hendaklah dibuat dalam tempoh SETAHUN dari tarikh kemasukan / pendaftaran ke UA /Politeknik.

4. *Bantuan Peralatan Pesakit*
Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus kepada Veteran ATM, isteri dan tanggungan untuk membeli peralatan bantuan sokonganseperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya.
Kadar bantuan maksimum adalah RM 5,000.00 sekaligus.

Setiap permohonan hendaklah disertakan laporan/memo daripada pegawai perubatan kerajaan bagi menyokong keperluan, sebut harga atau resit asal pembelian bagi alat berkenaan.

Bagi tuntutan bayaran balik peralatan, pemohon hendaklah mengemukakan resit asal pembelian dan permohonan hendaklah dibuat tidak melebihi tempoh SETAHUN dari tarikh pembelian alat berkenaan.

5. *Bantuan Bencana Alam*
Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan sekaligus untuk meringankan beban dan kesusahan yang dialami oleh Veteran ATM akibat bencana alam seperti ribut, kebakaran dan sebagainya.
Kadar bantuan maksimum RM5,000.00 sekaligus.

Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh SETAHUN dari tarikh kejadian

*Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan JHEV berdekatan*

No comments:

Post a Comment