Saturday, 28 August 2021

PVTLDM KEDAH HANTAR SUMBANGAN KEPADA MANGSA TRAGEDI KEPALA AIR DI YAN

 

Oleh/Foto: Paklang Hamzah

Yan 28 Ogos – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) negeri Kedah sentiasa perihatin dengan meneruskan agenda menyantuni veteran TLDM yang ditimpa musibah dengan tidak mengira samada mereka itu seorang ahli berdaftar dengan persatuan atau tidak.

Hari ini seramai 7 orang veteran TLDM yang tinggal di Taman Lembah Merbok Kuala Muda Kedah telah menerima sumbangan wang tunai ekoran penempatan mereka yang terjejas teruk dalam tragedi kepala air yang menyebabkan banjir kilat baru-baru ini. 

Dalam tragedi 18 Ogos lalu, lebih 10 buah kampung di kaki Gunung Jerai dan di taman-taman perumahan sekitar bandar Yan dan Merbok terjejas teruk yang turut melibatkan kematian.

Yang Di Pertua PVTLDM Kedah, Tuan Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin yang mengetuai misi lawatan bersama Ahli Jawatankuasanya telah mengambil masa lebih 1 jam meninjau di kawasan penempatan tersebut bagi mendengar penerangan daripada mangsa-mangsa yang terlibat.

Salah seorang veteran yang disantuni, Bintara Kanan RDP (bersara) Afendi Abd Rahman  (47) berkata,  kejadian yang berlaku secara tiba-tiba itu sungguh tidak dijangkakan. Beliau menganggarkan kerugian yang dialaminya lebih Rm 10 ribu kerana banyak peralatan rumah, pagar dan lain-lain telah musnah. 

Namun begitu, beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat meski pun semasa kejadian tersebut beliau tiada di rumah dan beliau tidak menjangkakan pihak PVTLDM datang menjenguk mereka untuk bertanya khabar meski pun beliau belum lagi menjadi ahli persatuan.#




No comments:

Post a Comment