Alor Setar 18 Sep 2022 - Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (VTTLDM) umumnya diseru supaya menjadikan Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) sebagai wadah perjuangan baharu selepas menamatkan perkhidmatan terdahulu tanpa mengira berapa tahun mereka berkhidmat. Ianya sangat penting bagi memudahkan kebajikan mereka atau keluarga mereka disantuni jika berlaku sesuatu musibah.
Di samping itu juga dapat mengekalkan ukhuwah silaturrahim dan semangat Navy Peoples supaya terus kekal berpanjangan di antara generasi lama dan generasi baharu.
Seruan ini dizahirkan oleh Yang Di-pertua Persatuan Veteran TLDM, Tuan Haji Zulkifli bin Hj Muhyiddin dalam ucapan aluan beliau sempena Mesyuarat Agung Tahunan PVTLDM Cawangan Negeri Kedah kali ke-14 di hotel Seri Malaysia Alor Setar hari ini.
Justeru itu katanya lagi, setiap ahli berdaftar harus meneruskan peranan supaya mengamalkan amalan ‘member get member’ bagi menggalakkan lebih ramai veteran TLDM menyertai persatuan. Setakat ini PVTLDM Kedah mempunyai 730 orang ahli yang berdaftar seumur hidup berbanding jumlah veteran TLDM yang berada di negeri Kedah hampir 2000 orang.
Beliau juga mengingatkan supaya sebarang isu sensitif berkaitan dengan keagamaan dan politik kepartian yang mana ianya bertentangan dengan tujuan asal penubuhan persatuan hendaklah dihindarkan dari berada di media sosial persatuan.
Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh Tuan Zulqurnain bin Osman selaku Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Yang berhormat Datuk Haji Awang bin Hasyim, Timbalan Menteri Sumber manusia, merangkap Ahli Parlimen Pendang.
Dalam ucapan perasmian, Tuan Zulqurnain turut menyeru supaya semua veteran TLDM dapat menjadikan PVTLDM sebagai jemaah supaya dapat membentuk kerjasama supaya sesuatu yang ringan dapat dijinjing dan sesuatu yang berat dapat dipikul bersama.
Tegas beliau lagi, “Tidak boleh tidak, jasa dan pengorbanan bekas perajurit khususnya pada hari ini, Veteran Tentera Laut tidak boleh dilupakan begitu sahaja. It should not be left unnoticed and unspoken. All of them have been struggling way beyond measure, blood and sweat, only for the sake of our beloved nation. Saya yakin dan percaya dengan kewujudan PVTLDM yang menerapkan nilai-nilai sejagat seperti berdikari, demokrasi, persamaan hak (equality), keadilan (equity of treatment), bersatu padu (solidarity) dan nilai etika seperti ketelusan, kejujuran dan keikhlasan akan menjadikan PVTLDM sebagai platform NGO yang cukup berkesan”.
Turut hadir dalam Mesyuarat Agung kali ini ialah YBhg Mej Kehormat Dato’ Haji Mohd Sobre bin Abdullah , YDP PVTLDM Pulau Pinang bagi mewakili Presiden PVTLDM dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Utara, Mej Ahmad Ramdzan bin Mohamad TUDM.
![]() |
Yang Di-pertua Persatuan Veteran TLDM , Tuan Haji Zulkifli bin Hj Muhyiddin |
![]() |
YBhg Mej Kehormat Dato’ Haji Mohd Sobre bin Abdullah , YDP PVTLDM Pulau Pinang bagi mewakili Presiden PVTLDM |
![]() |
Tuan Zulqurnain bin Osman selaku Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Yang berhormat Datuk Haji Awang bin Hasyim, Timbalan Menteri Sumber manusia, merangkap Ahli Parlimen Pendang. |
No comments:
Post a Comment