Saturday, 7 October 2023

PVTLDM KEDAH TERUS PERGIAT USAHA MENJAGA KEBAJIKAN AHLI

 


Alor Setar 7 Okt 2023- Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Kedah kali Ke-15 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya  di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Alor setar hari ini.

"Walau pun minima tetapi meriah. Walau pun persatuan sedang mengalami kekangan kewangan, namun kita masih mampu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-15 dengan jayanya hari ini.” Tegas Tuan Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin selaku Yang Di-Pertua PV TLDM Kedah dalam ucapan perasmian beliau pagi ini.  

Beliau memaklumkan,  mesyuarat kali ini dilaksanakan dalam skala kecil dengan menghadkan kehadiran kepada 30 orang ahli tidak termasuk Ahli Jawatankuasa sesuai dengan arahan Jawatankuasa PVTLDM Pusat supaya melakukan Mesyuarat Agung tahun ini secara sederhana bagi mengurangkan beban kewangan persatuan.  Ini adalah kerana persatuan tidak mempunyai pendapatan sendiri melainkan memohon sumbangan dari pihak kerajaan dan sumber-sumber luar.


 “Saya faham Mesyuarat Agung Tahunan persatuan adalah merupakan medan pertemuan ahli-ahli persatuan dalam membina ukhuwah di samping ahli-ahli memberi idea-idea bernas untuk pembangunan dan kemajuan persatuan. Namun begitu bagi memberi tumpuan dan keutamaan kepada aktiviti kebajikan ahli, segala aktiviti yang kurang penting akan dibuat secara berhemat.” Jelas Zulkifli.


Zulkifli juga menjelaskan pada peringkat awal, mesyuarat ini telah dijadual pada 29 Okt 2023 tetapi arahan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) supaya persatuan menghantar laporan mesyuarat lebih awal sekaligus segala persiapan dan permohonan sumbangan daripada kerajaan negeri tidak sempat diterima kerana persatuan telah percepatkan tarikh mesyuarat pada hari ini.  Apa pun sumbangan yang diperolehi nanti akan digunakan untuk Persidangan PVTLDM Peringkat Negara yang dijadualkan berlangsung di di Lumut Perak pada 11 dan 12 November nanti.


Kebajikan dan Networking


Dalam ucapan, Zulkifli yang juga merupakan Naib Presiden 3 dalam Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) PV TLDM Pusat turut menggesa supaya usaha memperbanyakkan kemasukan ahli terus dipergiatkan di samping menggalakkan supaya setiap ahli PV TLDM Kedah mengambil manfaat dengan penubuhan Tabung Kebajikan Bersama (TKB) yang dapat memberi pulangan sehingga RM 600.00 jika ahli atau pasangan meninggal dunia dan RM 50.00 jika dimasukkan ke hospital.


Di antara perkara-perkara lain yang dibincang dalam mesyuarat kali ini ialah meneruskan jalinan perhubungan strategik di antara PV TLDM dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baharu yang mana kunjungan hormat ke pejabat SUK akan dilakukan dalam masa yang terdekat bagi membincangkan peluang-peluang dan kolaborasi dalam pelbagai aspek yang mungkin boleh membantu penjanaan ekonomi persatuan dan juga ahli.  


Ini penting untuk  meletakkan nama PVTLDM sebaris di dalam senarai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)  berdaftar yang terdapat dalam negeri Kedah supaya  PV TLDM Kedah tidak lagi dikesampingkan dalam apa jua aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di peringkat kerajaan negeri seperti Majlis Sambutan Hari Pahlawan, Sambutan Hari Kebangsaan  dan lain-lain aktiviti dalam negeri Kedah khususnya.  Juga termasuk menerima apa-apa jua bentuk sumbangan yang diperuntukkan kepada NGO dari kerajaan negeri di samping  merangka kerjasama dan persefahaman dalam konteks kebajikan ahli dan melaksanakan misi-misi kemanusiaan dan sebagainya


Mesyuarat juga membincangkan satu usul daripada wakil ahli Langkawi supaya PV TLDM Kedah mengadakan kolaborasi strategik dengan Markas Wilayah Laut 3 (MAWILA 3 ) TLDM Langkawi supaya PV TLDM Kedah turut dilibatkan atau dijemput   menyertai dalam apa jua acara pada hari-hari kebesaran negara yang dianjurkan oleh MAWILA 3 khususnya.  


Dengan kolaborasi kedua-kedua pihak dapat memberi manfaat kebajikan kepada veteran TLDM Kedah khususnya yang berada di Langkawi mau pun veteran yang datang melancong ke Langkawi.


Menurut Zulkifli lagi, PV TLDM Kedah juga sedang berusaha merealisasikan penubuhan sebuah Koperasi bagi mengembangkan aktiviti-aktiviti berfaedah dalam kalangan ahli bagi menjana pendapatan tambahan.


Foto-foto Di sekitar AGM:


















Saturday, 20 May 2023

JAMUAN RAYA VETERAN TLDM KEDAH MERIAH

 



Yan Kedah 20 Mei - Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (VTLDM) negeri Kedah telah diraikan dalam satu  Majlis Rumah Terbuka hari ini.  Majlis Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah dianjurkan oleh Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Kedah. 


Seramai lebih 400 orang ahli dan bukan ahli PVTLDM datang bersama keluarga dan berkampung di Amandara Mandi Chalet Yan bagi merealisasikan perjumpaan tahun ini.  Di samping majlis makan-makan, beberapa aktiviti telah diatur bagi menyerikan lagi suasana perayaan.  Ianya termasuk acara sukaneka bagi kanak-kanak dan orang dewasa.  Kanak-kanak juga diberi angpau raya yang disediakan oleh persatuan dan sumbangan orang perseorangan yang hadir.




Meski pun majlis ini diadakan pada penghujung syawal namun suasana perayaan masih dapat dirasakan dan  mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari Veteran TLDM seluruh negeri Kedah.  Sebelum ini tradisi rumah terbuka dilaksanakan saban tahun ketika Aidilfitri namun tidak dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan penularan COVID-19.


Yang Di-pertua PVTLDM , Tuan Haji Zulkifli bin Hj Muhyiddin dalam ucapan aluan berharap, perjumpaan ini dapat mengekalkan ukhuwah persaudaraan dan semangat Navy Peoples  terus kekal berpanjangan di antara generasi lama dan generasi yang baharu  menamatkan perkhidmatan supaya dapat menyesuaikan diri bila menjadi orang awam.


Katanya lagi, PVTLDM Kedah setakat ini merupakan persatuan yang sangat aktif dalam menjaga kebajikan ahli-ahli dan sentiasa turun padang dalam memberi sumbangan kepada ahli serta keluarga yang ditimpa musibah. 


Justeru, beliau menyeru supaya mana-mana veteran TLDM yang belum menjadi ahli diminta menyertai PVTLDM dengan segera supaya mereka tidak terkecuali dalam mendapat perhatian persatuan bila ditimpa musibah.


Dalam majlis yang sama, penyerahan Sijil Pingat Jasa Malaysia (PJM) turut diberikan kepada veteran yang telah menerima Pingat tersebut dalam majlis yang berasingan sebelum ini. Beliau berkata, Persatuan dan Koperasi PVTLDM negeri Kedah sentiasa komited dan sedang berusaha untuk melaksanakan projek sendiri dalam usaha menambah baik penjanaan ekonomi persatuan dan ahli-ahli yang terlibat.


Foto-foto di sekitar majlis.




















Saturday, 4 March 2023

PVTLDM 15 TAHUN TERUS BERJUANG

 


Persidangan Perwakilan Peringkat Negara Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) kali ke-14 telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran seramai 187 orang perwakilan. 

PVTLDM kini mempunyai 16 buah cawangan di seluruh negara. Sebanyak  11 buah cawangan telah mengambil bahagian dalam persidangan ini kerana PVTLDM Cawangan Sabah,  PVTLDM Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan, PVTLDM Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan PVTLDM Cawangan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah tidak menghantar wakil.

Persidangan yang berlangsung pada 03 Mac 2023 lalu telah diadakan di Darul Iman Training Centre (DITC) Kijal Kemaman di mana PVTLDM Cawangan Terengganu telah menjadi tuan rumah.

Nota Presiden

Presiden PVTLDM, Senator (B) Laksamana Pertama Hj Mohamad Imran bin Hj Abdul Hamid (Bersara) dalam nota aluan menyatakan PVTLDM kini telah menjangkau usia 15 tahun penubuhan nya dan akan terus berdiri teguh untuk tahun-tahun mendatang. 

Tulisnya lagi, pelbagai usaha telah dan akan terus dilakukan bagi menentukan PVTLDM bertambah maju dan berkembang.  Usaha untuk menambahkan bilangan ahli diteruskan. Sehingga kini sambutan Veteran yang telah menamatkan perkhidmatan TLDM dan menjadi ahli adalah sangat menggalakkan. 

Namun demikian, PVTLDM akan terus menggerakkan kempen dengan lebih agresif agar bilangan ahli akan terus meningkat dan meletakkan PVTLDM sebagai sebuah persatuan yang berwibawa serta dikenali hingga ke peringkat nasional. 

Pelbagai Bantuan

Tambah beliau lagi, PVTLDM berhasrat untuk terus memberi bantuan kepada ahli dalam aspek pembangunan insan, material, ekonomi, pendidikan, kesihatan, kebajikan melalui penyampaian maklumat tentang peluang-peluang yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta. 

PVTLDM sangat menghargai dan berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana prihatin untuk terus membantu Veteran TLDM termasuk anggota keluarga mereka dengan pelbagai bantuan.

"Walau bagaimana pun kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada JHEV tetapi mesti berusaha memajukan diri sendiri. Sebagai Veteran TLDM, ilmu dan pengalaman yang diperoleh semasa dalam perkhidmatan harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk tujuan tersebut". Tegasnya. 

"Dalam  kita mengharungi kehidupan selepas perkhidmatan yang penuh cabaran kita seharusnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Kita mestilah  berusaha mencari peluang yang ada untuk dimanfaatkan. Sebagal Veteran TLDM kita telah dilatih supaya tidak berputus asa tetapi terus mara dan TERUS BERJUANG". Sambungnya lagi.


Foto sekitar Persidangan Negara Kali ke- 14 /2023















PVTLDM N9 - memenangi tempat pertama penciptaan Lagu "TERUS BERJUANG" PVTLDM