"Walau pun minima tetapi meriah. Walau pun persatuan sedang mengalami kekangan kewangan, namun kita masih mampu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-15 dengan jayanya hari ini.” Tegas Tuan Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin selaku Yang Di-Pertua PV TLDM Kedah dalam ucapan perasmian beliau pagi ini.
Beliau memaklumkan, mesyuarat kali ini dilaksanakan dalam skala kecil dengan menghadkan kehadiran kepada 30 orang ahli tidak termasuk Ahli Jawatankuasa sesuai dengan arahan Jawatankuasa PVTLDM Pusat supaya melakukan Mesyuarat Agung tahun ini secara sederhana bagi mengurangkan beban kewangan persatuan. Ini adalah kerana persatuan tidak mempunyai pendapatan sendiri melainkan memohon sumbangan dari pihak kerajaan dan sumber-sumber luar.
“Saya faham Mesyuarat Agung Tahunan persatuan adalah merupakan medan pertemuan ahli-ahli persatuan dalam membina ukhuwah di samping ahli-ahli memberi idea-idea bernas untuk pembangunan dan kemajuan persatuan. Namun begitu bagi memberi tumpuan dan keutamaan kepada aktiviti kebajikan ahli, segala aktiviti yang kurang penting akan dibuat secara berhemat.” Jelas Zulkifli.
Zulkifli juga menjelaskan pada peringkat awal, mesyuarat ini telah dijadual pada 29 Okt 2023 tetapi arahan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) supaya persatuan menghantar laporan mesyuarat lebih awal sekaligus segala persiapan dan permohonan sumbangan daripada kerajaan negeri tidak sempat diterima kerana persatuan telah percepatkan tarikh mesyuarat pada hari ini. Apa pun sumbangan yang diperolehi nanti akan digunakan untuk Persidangan PVTLDM Peringkat Negara yang dijadualkan berlangsung di di Lumut Perak pada 11 dan 12 November nanti.
Kebajikan dan Networking
Dalam ucapan, Zulkifli yang juga merupakan Naib Presiden 3 dalam Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) PV TLDM Pusat turut menggesa supaya usaha memperbanyakkan kemasukan ahli terus dipergiatkan di samping menggalakkan supaya setiap ahli PV TLDM Kedah mengambil manfaat dengan penubuhan Tabung Kebajikan Bersama (TKB) yang dapat memberi pulangan sehingga RM 600.00 jika ahli atau pasangan meninggal dunia dan RM 50.00 jika dimasukkan ke hospital.
Di antara perkara-perkara lain yang dibincang dalam mesyuarat kali ini ialah meneruskan jalinan perhubungan strategik di antara PV TLDM dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baharu yang mana kunjungan hormat ke pejabat SUK akan dilakukan dalam masa yang terdekat bagi membincangkan peluang-peluang dan kolaborasi dalam pelbagai aspek yang mungkin boleh membantu penjanaan ekonomi persatuan dan juga ahli.
Ini penting untuk meletakkan nama PVTLDM sebaris di dalam senarai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar yang terdapat dalam negeri Kedah supaya PV TLDM Kedah tidak lagi dikesampingkan dalam apa jua aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di peringkat kerajaan negeri seperti Majlis Sambutan Hari Pahlawan, Sambutan Hari Kebangsaan dan lain-lain aktiviti dalam negeri Kedah khususnya. Juga termasuk menerima apa-apa jua bentuk sumbangan yang diperuntukkan kepada NGO dari kerajaan negeri di samping merangka kerjasama dan persefahaman dalam konteks kebajikan ahli dan melaksanakan misi-misi kemanusiaan dan sebagainya
Mesyuarat juga membincangkan satu usul daripada wakil ahli Langkawi supaya PV TLDM Kedah mengadakan kolaborasi strategik dengan Markas Wilayah Laut 3 (MAWILA 3 ) TLDM Langkawi supaya PV TLDM Kedah turut dilibatkan atau dijemput menyertai dalam apa jua acara pada hari-hari kebesaran negara yang dianjurkan oleh MAWILA 3 khususnya.
Dengan kolaborasi kedua-kedua pihak dapat memberi manfaat kebajikan kepada veteran TLDM Kedah khususnya yang berada di Langkawi mau pun veteran yang datang melancong ke Langkawi.
Menurut Zulkifli lagi, PV TLDM Kedah juga sedang berusaha merealisasikan penubuhan sebuah Koperasi bagi mengembangkan aktiviti-aktiviti berfaedah dalam kalangan ahli bagi menjana pendapatan tambahan.
Foto-foto Di sekitar AGM:
No comments:
Post a Comment