Thursday, 25 April 2024

Suasana Pilu Mengiringi Jenazah Wira Negara

 


Sik 25 Apr - Sukar untuk digambarkan suasana pilu mengiringi kedua-dua jenazah mangsa  insiden helikopter Tentera Laut  Diraja Malaysia (TLDM) terhempas semasa dibawa ke Tanah Perkuburan berasingan di Kedah malam tadi. 


Tn. Hj Somad Ismail  dan En. Zainurim Ahmad yang mewakili  Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) yang berada di kedua-dua di lokasi malam tadi melaporkan ribuan  hadir mengiringi jenazah bagi memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-kedua mangsa tragedi yang berasal dari negeri Kedah ini.  


Orang ramai yang hadir bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung kelahiran mereka malah ramai dalam kalangan rakan-rakan dalam perkhidmatan dan veteran-veteran TLDM dari pelbagai daerah turut sama hadir memberi penghormatan terakhir buat wira TLDM yang terkorban.


Di Sik, jenazah Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, selamat dikebumikan di Tanah  Perkuburan Masjid Al Muhtadin, Sik Dalam, Kedah pada jam 10.15 malam bersebelahan pusara ibunya Fatimah Abdullah.  Turut hadir dalam upacara pengebumian jenazah malam tadi adalah Panglima Markas Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Roslee bin Mohamad Isa sebagai wakil Panglima Tentera Laut.


Allahyarham PWII TLR Muhammad Faisol merupakan Air Quartermaster (AQM) bagi pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) M503-3 yang berpangkalan di Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK).  Semasa kejadian pesawat mereka dalam misi penerbangan raptai hari TLDM ke-90 tahun 27 April ini. 


Sementara itu, di Yan, jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, dikebumikan  di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan pada 9.50 malam berhampiran kubur arwah ibunya Ratipa Yahaya. 


Allahyarham BM TNL Noor Rahiza adalah salah seorang daripada tiga orang penumpang di dalam pesawat HOM M503-3 yang juga terlibat di dalam acara sambutan HUT TLDM ke-90.


Pengebumian kedua-dua wira negara ini diiringi dan diberi tabik hormat terakhir oleh Pasukan Kawalan Jenazah TLDM yang dilakukan mengikut tradisi serta  istiadat ketenteraan.

Yang Di-Pertua  PVTLDM Cawangan Negeri Kedah Tn. Haji Zulkifli bin Haji Muhyiddin sewaktu dihubungi berkata, pihak PVTLDM akan membuat kunjungan ziarah ke rumah keluarga kedua-dua mangsa dalam masa terdekat untuk melihat apa yang boleh pihak PVTLDM bantu dalam konteks kebajikan dan seumpamanya.

Foto-foto sekitar Pengebumian di Sik dan Yan Kedah. Kredit foto kepada grup PVTLDM Kedah.












No comments:

Post a Comment