Rantau Panjang, 21 September 2024 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah melaksanakan Program Veteran Desa Madani (VDM) di bawah Kementerian Pertahanan bersama-sama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
VDM adalah merupakan salah satu inisiatif terkini daripada keseluruhan Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang telah dilaksanakan sejak bulan Mac 2023 hingga kini.
Program ini menampilkan pengisian yang lebih mesra dengan veteran dan keluarga termasuk masyarakat setempat.
Objektif
Pelaksanaan VDM di antaranya adalah bertujuan untuk menyediakan sasaran yang lebih tepat kepada keluarga veteran ATM khusus kepada golongan veteran asnaf dan di bawah kategori B40 yang memerlukan bantuan dalam salah satu di antara lima (5) aspek PVM iaitu Kebajikan, Kesihatan, Perumahan, Pendidikan dan Pemerkasaan (empowerment).
VDM juga turut berfungsi sebagai platform kolaborasi antara kementerian dan kerajaan negeri dalam usaha untuk menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran-veteran terpilih secara khusus dan masyarakat setempat secara amnya.
Antara lain ianya memenuhi aspirasi Kementerian Pertahanan yang sentiasa ‘Responsif, Prihatin dan Komited’ dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM yang menjadi salah satu teras utama dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan.
Selaras dengan pembangunan dasar Malaysia Madani (Teras Ihsan) untuk kementerian terus berusaha mengenalpasti sebarang peluang yang boleh memanfaatkan veteran dan tanggungan demi memperkasakan agenda kebajikan veteran ATM.
Menepati aspirasi Teras 4 Pelan Strategik MINDEF 2021 – 2025, iaitu menyebarluaskan kesedaran awam mengenai pertahanan menyeluruh melalui program bersama komuniti.
Program Perintis
Sebagai permulaan, program ini telah diadakan di Daerah Machang dan Gua Musang pada bulan Julai dan Ogos 2024 sebelum diteruskan ke lokasi berikutnya iaitu Daerah Rantau Panjang.
Sepanjang Program VDM Rantau Panjang, YB Adly berpeluang beramah-mesra dengan para veteran serta komuniti setempat serta melaksanakan aktiviti gotong-royong memasak lauk kenduri bersama-sama dengan penduduk kampung.
Bersempena dengan program VDM pada kali ini, pelbagai pengisian telah diadakan bagi membuka peluang kepada orang ramai untuk turut serta secara langsung.
Penduduk berdekatan khususnya dari Kampung Lubuk Gong dan yang berada di sekitar Rantau Panjang telah hadir ke Dewan Sekolah Kebangsaan Seri Rantau Panjang 2 bagi sesi bertemu pelanggan serta beramah mesra dengan YB Adly.
Antara pengisian tersebut ialah pameran kesihatan dan pemeriksaan gigi daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM (BPK), kaunter bertemu pelanggan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kaunter perkhidmatan veteran ATM oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
YB Adly juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak 100 Bakul Rahmah kepada persatuan veteran setempat dan penduduk kampung di sekitar Daerah Rantau Panjang yang terdiri daripada golongan asnaf serta yang memerlukan bantuan.
Selain daripada itu, turut diadakan ialah lawatan kebajikan kepada seorang veteran ATM di Kampung Tasik Pasir Putih. Selain bertanya khabar, YB Adly berbesar hati menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan dan peralatan kesihatan kepada veteran dan keluarga. Beliau meneruskan lawatan ke Jalan Cinta Jaya, Parit Air untuk bertemu dengan usahawan veteran yang menjalankan perusahaan menternak ikan air tawar.
Dalam kunjungan tersebut, YB Adly telah menyampaikan bantuan iaitu benih ikan patin, talapia dan keli bagi menambah jumlah ikan serta kitaran pengeluaran ikan ternakan.
Kementerian Pertahanan bertekad untuk terus komited membantu para usahawan veteran ATM bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan mereka.
Turut Hadir
Timbalan Menteri Pertahanan turut mengucapkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Majlis Daerah Pasir Mas – Cawangan Rantau Panjang serta Kerajaan Negeri Kelantan sepanjang pelaksanaan Program VDM Rantau Panjang.
Negeri Kelantan mencatatkan seramai 17,068 orang veteran ATM dan 5,856 adalah veteran ATM yang tidak berpencen. Daerah Rantau Panjang mempunyai seramai 405 veteran ATM dan 148 adalah veteran ATM yang tidak berpencen.
Program Veteran Desa Madani pada kali ini turut diiringi Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM; Encik Sophian Isswandy bin Ismail, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Kelantan; Mej Wan Abdullah bin Wan Abdul Samad TUDM serta wakil persatuan-persatuan veteran ATM sekitar Kelantan.
Foto sekitar program.